index
Pengenalan | Fon& Typeface | Kategori Fon & Typeface | Saiz Teks | Panduan | Perisian | Penutup
Teks Dalam Multimedia
Perkataan merupakan salah satu sistem komunikasi yang sangat penting dalam menyampaikan sesuatu maklumat atau informasi. Sama ada perkataan itu dipersembahkan dalam apa jua bentuk, lisan atau bertulis, ia membolehkan sesuatu maklumat atau informasi disalurkan dengan berkesan dan efektif. Lantaran itu, teks merupakan salah satu media yang utama yang diperlukan dalam sesebuah perisian multimedia sama ada sebagai sistem navigasi, menu utama dan terutamanya bagi tujuan penyampaian sesuatu isi kandungan perisian. Dengan kombinasi bersama-sama dengan media yang lain seperti audio, video, animasi dan grafik, maka teks dapat menyampaikan sesuatu informasi dengan lebih menarik dan berkesan.
Fon (Font) dan ‘Typeface’
Fon (Font) merupakan satu koleksi yang mempunyai stail serupa yang dimiliki oleh sekumpulan ‘typeface’ manakala ‘typeface’ merupakan sekumpulan aksara grafik (graphic characters) yang biasanya terdiri daripada bermacam-macam bentuk dan saiz. Contoh-contoh jenis fon ialah bold dan italic. Garisan (underlining), (outlining) merupakan fon-fon tambahan yang sentiasa digunakan. Contoh-contoh jenis ‘typeface’ ialah Arial, Helvetica dan Times New Roman. Arial 12 point italic pula merupakan fon. Jadi, apakah perbezaan antaran Fon (Font) dengan ‘typeface’? Secara umumnya, fon merujuk kepada jenis tulisan manakala ‘typeface’ pula merujuk kepada stail tulisan. Jadi pemilihan fon (Font) dan ‘typeface’ yang sesuai sangatlah penting dalam menyediakan sesuatu paparan, kebolehbacaan sesuatu paparan dan rekabentuk sesuatu paparan.
Kategori-kategori Fon (Font) Dan ‘Typeface’
Fon (Font) pada asasnya boleh dibahagikan kepada tiga kategori yang utama iaitu serif, sans serif dan dekoratif. Serif merujuk kepada garisan atau lengkungan yang terdapat pada penghujung sesuatu aksara. New Century, SchoolBook, Palatino dan Times New Roman merupakan fon (Font) jenis serif.
Contohnya:
YANG BERHORMAT TUAN HAJI
Sans serif pula merujuk kepada aksara yang tiada garisan atau lengkungan pada penghujungnya. Arial, Optima dan Helvitica merupakan fon (Font) jenis sans serif.
Contohnya:
SEORANG PENSYARAH YANG PENYAYANG
Contoh perbezaan fon (Font) jenis sans serif dan serif.
Sans Serif Serif
Dekoratif pula merujuk kepada fon (Font) yang mempunyai unsur-unsur sastera lama dan agak berbunga-bunga seperti tulisan zaman dahulu.
Teks boleh dipersembahkan dalam berbagai-bagai saiz dan unit untuk saiz teks adalah dalam point atau milimeter. Teks boleh diukur secara ketinggian menegak sesuatu huruf atau kelebaran vertikal sesuatu huruf. Ketinggian menegak ini boleh diukur melalui jarak antara pengatas sesuatu huruf kecil seperti huruf k dan pembawah sesuatu huruf kecil seperti j. Saiz sesuatu teks biasanya diukur dalam unit point. Satu point adalah bersamaan dengan 0.0138 inci atau 1/72 inci. Ini bermakna terdapat 72 point dalam satu inci. Fon bersaiz 10 hingga 12 merupakan fon yang biasanya digunakan dalam paparan isi kandungan sesebuah skrin. Walau bagaimanapun, pemilihan saiz teks juga bergantung kepada kumpulan sasaran. Bagi pengguna kanak-kanak atau warga tua, fon bersaiz besar adalah diperlukan. Demikian juga keadaan dengan teks yang digunakan sebagai tajuk atau subtajuk sesebuah aplikasi, fon bersaiz besar adalah diperlukan. Menurut Shuman J.E (1998), fon bersaiz 14 hingga 48 point adalah sesuai digunakan untuk paparan tajuk utama atau ‘heading’ manakala fon bersaiz 10 hingga 12 point adalah sesuai digunakan untuk paparan isi kandungan sesebuah skrin. Menurut Shuman J.E juga, saiz fon untuk subtajuk atau ‘subheading’ haruslah separuh daripada saiz tajuk atau ‘heading’.
Panduan Penggunaan Teks Di Dalam Aplikasi Multimedia
Ringkas dan padat
Teks memain peranan yang sangat penting di dalam aplikasi sesebuah multimedia, namun ia kadang-kala gagal menyampaikan sesuatu maklumat dalam tempoh masa yang ditetapkan. Contohnya, sekiranya seseorang hanya diberi masa 2 saat untuk mengetahui ciri-ciri seseorang guru yang berkesan, teks adalah amat sukar untuk mencapai objektifnya. Jadi, teks haruslah dalam bentuk yang ringkas dan padat. Adalah sukar untuk kita membaca sesuatu teks yang panjang pada skrin komputer. Ini kerana ia adalah meletihkan dan membosankan. Tambahan pula, teks bukannya satu kaedah yang terbaik untuk menyampaikan sesuatu fakta atau konsep. Sebagai contoh, untuk menerangkan model kapal terbang yang baru dibangunkan, adalah lebih sesuai dipersembahkan dalam bentuk grafik daripada teks. Pak kata pepatah, sekeping gambar lebih berkesan daripada seribu patah perkataan. Penggunaan teks yang maksima adalah sesuai bagi aplikasi-aplikasi multimedia berunsurkan rujukan seperti ensaiklopedia. Dari sudut rekabentuk pula, panduan menyatakan penggunaan teks haruslah kurang daripada separuh penggunaan skrin.
Teks boleh dibaca dengan mudah
Seperti yang sedia maklum, teks boleh dipersembahkan dalam pelbagai jenis tulisan atau fon. Pada amnya, terdapat 3 kategori fon yang utama iaitu serif, sans serif dan dekoratif. Fon jenis dekoratif adalah lebih menarik perhatian, bercorak dan cantik, namun ia adalah sukar untuk dibaca. Ini bermakna, penggunaan teks fon dekoratif adalah kurang sesuai jika kumpulan sasaran kita ialah golongan warga tua atau kanak-kanak.
Gunakan fon dan ‘typeface’ yang sesuai
Penggunaan fon dan ‘typeface’ yang bersesuaian dengan konsep, isi kandungan, kumpulan pengguna sasaran dan mood sesebuah aplikasi multimedia amat penting di dalam menentukan keberkesanan penyampaian maklumat. Kesilapan pemilihan fon dan ‘typeface’ yang sesuai akan mengakibatkan kebosanan pengguna menerima maklumat yang disampaikan oleh teks. Sebenarnya, pemilihan fond dan ‘typeface’ adalah bergantung rapat kepada objektif aplikasi serta pengguna sasaran yang akan menggunakan aplikasi tersebut. Contohnya, sekiranya objektif sesebuah aplikasi adalah berkaitan Zaman Kesultanan Melaka dan pengguna sasaran kita ialah pelajar-pelajar tingkatan 4 atau 5, maka penggunaan fon dalam kategori dekoratif adalah amat sesuai bagi bahagian tajuk. Ilustrasi-ilustrasi yang dipaparkan berikut menunjukkan penggunaan pelbagai jenis fon yang disesuaikan dengan situasi, isi kandungan dan kumpulan sasaran sesebuah aplikasi multimedia. Daripada ilustrasi-ilustrasi yang dipaparkan berikut, adalah jelas menunjukkan bahawa setiap isi kandungan atau situasi yang berbeza kelihatan lebih hidup dan menarik sekiranya pemilihan jenis fon yang bersesuaian.
Pemilihan stail tulisan dan warna teks
Bold, italic dan underline merupakan tiga jenis stail tulisan yang sering digunakan dalam sesebuah aplikasi multimedia. Stail-stail tulisan ini digunakan untuk memberi penekanan terhadap sesuatu fakta atau konsep mahupun tajuk. Ia juga digunakan sebagai hiperteks. Hiperteks ialah sebagai suatu laluan bagi membolehkan pengguna mendapatkan maklumat berkaitan yang lebih banyak di halaman-halaman web. Hiperteks juga digunakan untuk menghasilkan sesuatu aksi seperti bunyi ataupun animasi apabila ia diaktifkan iaitu dengan diklik dengan tetikus. Selain daripada pemilihan stail tulisan yang bersesuaian, kombinasi warna teks dan warna latar belakang juga haruslah bersesuaian. Elakan kombinasi warna yang hampir sama seperti warna kuning dengan warna hijau. Kombinasi warna teks dan latar belakang yang baik adalah seperti hitam putih, hitam kuning, biru putih dan sebagainya. Cuba elakkan penggunaan teks yang berwarna merah kerana teks berwarna merah adalah sukar untuk dibaca.
Kawalan pemilihan fon dan konsisten
Walaupun penggunaan berbagai jenis fon, saiz, stail dan warna adalah menarik perhatian dalam sesebuah aplikasi multimedia, namun adalah pentingnya pengawalan dilakukan. Ini kerana sesebuah aplikasi multimedia yang mempunyai berbagai jenis fon, saiz, stail dan warna adalah sukar untuk dibaca. Selain daripada itu, keseragaman atau konsistensi dalam penggunaan teks juga sangat penting dalam pembangunan sesebuah aplikasi multimedia. Ini bermakna sekiranya sesebuah aplikasi mempunyai beberapa skrin yang memerlukan penggunaan tajuk atau subtajuk, seharusnya penggunaan ‘typeface’, fon, stail dan warna yang konsisten dan tidak berubah-ubah haruslah digunakan pada setiap tajuk atau subtajuk untuk skrin-skrin yang lain juga. Demikian juga keadaan dengan hiperteks. Sekiranya sesuatu hiperteks adalah fon jenis Times New Roman yang mempunyai stail italic serta berwarna biru, maka di sepanjang aplikasi tersebut, stail dan warna yang sama haruslah digunakan untuk mewakili hiperteks. Ini adalah penting untuk menimbulkan suasana mesra pengguna di dalam aplikasi yang dibangunkan. Satu lagi faktor penting yang perlu diambil perhatian di dalam permilihan jenis fon ialah sama ada fon yang dipilih itu berada di dalam sistem komputer yang bakal digunakan bagi tujuan mainbalik. Sebagai contoh, sekiranya anda menggunakan fon jenis Batang sebagai fon utama bagi memaparkan isi kandungan sesebuah aplikasi dan apabila dimainkan pada sistem komputer pengguna yang tidak mempunyai fon tersebut maka paparan anda akan bercelaru dan tidak sepertimana yang dipaparkan pada sistem komputer yang digunakan bagi tujuan pembangunan. Lantaran itu, komputer akan menukar jenis fon tersebut kepada fon yang ada di dalam sistemnya.
Perisian Bagi Menghasil Dan Mengubah Teks
Pada zaman sekarang, terdapat banyak perisian atau program komputer yang membolehkan anda mengguna atau membina fon-fon yang menarik mengikut citarasa sendiri. Contoh-contoh perisian pemproses perkataan ialah Microsoft Word dan Word Perfect. Contoh-contoh perisian untuk menghasilkan sesebuah aplikasi yang tidak memerlukan penggunaan teks yang banyak ialah Macromedia Authorware, ToolBook dan sebagainya. Selain daripada perisian-perisian grafik seperti Adobe Photoshop, Adobe Ilustrator, Macromedia Freehand dan Fontgrapher juga boleh digunakan bagi membentuk teks-teks berbentuk grafik yang lebih menarik. Perisian-perisian ini biasanya boleh menghasilkan berbagai kesan istimewa dan khas seperti bayang-bayang, teks bercahaya, teks tiga dimensi (3D) dan sebagainya.
Perkembangan yang pesat elemen-elemen lain multimedia seperti grafik, audio, video dan animasi tidak bermakna penggunaan teks dalam multimedia tidak lagi penting. Walaupun penggunaan teks dalam multimedia kelihatan tradisi, namun ia masih memainkan peranan yang sangat penting untuk tujuan menyampaikan sesuatu maklumat. Sesebuah aplikasi multimedia adalah kurang sempurna kalau tiada penggunaa teks. Apa yang penting ialah keupayaan seseorang penerbit atau pembangun sesebuah aplikasi multimedia memaksimakan keberkesanan penggunaan teks sebagai sumber penyampaian maklumat yang efektif dan menarik.
Perkembangan telekomunikasi
telah membawa banyak perubahan
dalam kehidupan manusia.
Bercutilah di Pantai Santubong. Pantainya
bersih, udaranya nyaman.